MRSM Kuala Kubu Bharu adalah satu-satunya MRSM yang terletak di negeri Selangor Darul Ehsan, iaitu di Mukim Buloh Telor. MRSM Kuala Kubu Bharu yang menelan belanja sebanyak RM 24 juta dibina di atas tanah seluas 63 ekar atau 25.5 hektar . Penyerahan tapak kepada kontraktor yang bertanggungjawab terhadap pembinaan MRSM Kuala Kubu Bharu dibuat pada 23 September 1999   . Pembinaannya juga dimulakan pada tarikh yang sama , iaitu 23 September 1999. Pada 15 Januari 2002 , bangunan MRSM Kuala Kubu Bharu diserahkan oleh kontraktor kepada pihak MARA.

Pada 2 Januari 2002, Pengetua , Penolong Pengetua Hal Ehwal Akademik, Penolong Pengetua Hal Ehwal Pelajar  serta 17 orang guru yang berpengalaman telah melaporkan diri di MRSM Kuala Kubu Bharu dengan penuh semangat berserta azam ingin mencurahkan bakti kepada anak bangsa . Tanggal 15 Januari 2002 pula, seramai 3 orang guru baru melaporkan diri di MRSM ini untuk berganding bahu memajukan MRSM Kuala Kubu Bharu dan merealisasikan impian Pengetua untuk menjadikan MRSM Kuala Kubu Bharu sebagai sebuah sekolah bertaraf dunia.

MRSM Kuala Kubu Bharu yang tersergam indah ini mampu menampung pelajar seramai 750 orang, yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pada peringkat awal pembukaan, MRSM Kuala Kubu Bharu telah menerima pelajar tingkatan dua seramai 142 orang yang sebelum ini ditumpangkan di MRSM Chenderoh , Perak. Kemudian, pada tanggal 4 Februari 2002 pengambilan pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat seramai 180 orang dan 240 orang masing-masing dijalankan.

Pengetua sekarang adalah pengetua keempat dan mula bertugas semenjak Januari 2006, setelah pengetua perintis, Puan Hajah Norly Mohd Noh ditukarkan oleh pihak MARA ke ibu pejabat di Kuala Lumpur.  Pengetua kedua pula iaitu Tn. Haji Alias bin Muda telah mendapat tempat baru di MRSM Kuala Terengganu(kini telah bertukar ke MRSM Kuala Lipis) yang merupakan tempat kelahiran beliau. Tn Haji Saroni Bin Kasmani , yang merupakan pengetua ketiga telahpun meninggal dunia pada September 2012 semasa berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah, MARA(Al-Fatihah, semoga roh arwah tenang di sana dan ditempatkan bersama-sama dengan roh-roh orang yang beriman). Tuan Haji Md. Safar Bin Said  adalah pengetua keempat kini meneruskan perjuangan beliau sebagai usahawan.

Puan Siti Fatimah Hassan adalah pengetua kami yang kelima kini berkhidmat di tanah kelahiran beliau di Tumpat, Kelantan sebagaimana yang telah diidamkan sekian lama. Sebelum ini beliau merupakan Pengetua di MRSM Muadzzam Shah, Pahang dan telah menabur bakti di MRSM Kuala Kubu Bharu selama empat tahun.

Tuan Haji Mustafar Che Mat adalah pengetua kami yang kelima dan yang terkini merupakan kesinambungan tampuk pentadbiran maktab untuk bersama-sama berganding bahu dalam menghadapi anjakan paradikma. Beliau mempunyai pengalaman mengajar dan mentadbir yang sangat luas. Sebelum ini beliau merupakan Pengetua di MRSM Pengkalan Hulu, Perak.

 

Harapan yang tersemat disanubari warga MRSM Kuala Kubu Bharu untuk menjadikan institusi MARA yang paling disegani suatu masa nanti akan tercapai dengan segala perancangan yang dikepalai oleh tuan pengetua. Dengan titik tolak yang dialami oleh semua warga maktab, MRSM Kuala Kubu Bharu akan melonjak jauh menuju puncak kejayaan.

Joomla Templates - by Joomlage.com